Saturday, 25 April 2009

Apa benda paling jauh???


jika masa tidak di guna dengan baik,boleh memusnahkan kehidupan

Bismillahi ar-Rahman ar-Rahim


"Masa itu emas" itu ungkapan yang mungkin kita selalu dengar.Bahkan seawal usia 7 tahun lagi ketika mula bersekolah cikgu selalu mengucapkan ungkapan tersebut kepada murid-murid agar mereka lebih menghargai masa.

Ini ungkapan yang orang melayu gunakan untuk menunjukkan betapa berharganya masa itu untuk disia-siakan. Tetapi hakikatnya masa itu jauh lebih berharga daripada emas. Jika emas, kita masih boleh beli dengan wang ringgit ataupun diperoleh dari perut bumi ,tetapi masa yang telah berlalu tidak akan mungkin untuk kita perolehi semula walaupun kita memiliki harta setinggi gunung pun dan tidak pula dapat ditemui di mana-mana sekalipun kita menggali ke perut bumi sehingga mencecah lapisan teras dalam sekalipun,tetap tidak akan kita temui .

Firaun yang memiliki kekayaan tidak terkira dahulu pernah mensia-siakan masa yang Allah S.W.T berikan untuk dia beriman apabila menolak ajaran Nabi Musa a.s .Akibatnya ,walaupun disaat sudah hampir mati lemas dia telah mengakui beriman kepada Allah ,namun itu tidak lagi berguna kerana masa yang di berikan telah berlalu. Maka sia-sialah harta yang banyak macam manapun, tiada gunanya jika dibandingkan dengan masa.

Imam al-Ghazali pernah bertanya kepada murid-muridnya, apakah benda yang paling jauh ?.
Maka ,daripada murid-muridnya ada yang menjawab langit,bintang ,matahari dan lain lagi.
Tapi jawapan yang Imam al-Ghazali berikan adalah masa yang telah berlalu. Ini kerana masa yang telah berlalu tidak mungkin untuk kita temukan semula.Mungkin inilah perumpamaan yang lebih bertepatan untuk menggambarkan tentang masa, iaitu benda yang' paling jauh dari kita'.

Dalam al-Furqan ,Allah S.W.T beberapa kali bersumpah dengan masa. Contohnya dalam surah al-Asri , ad-Dhuha, al-Laili dan al-Fajr.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَالۡعَصۡرِۙ‏﴿۱﴾ اِنَّ الۡاِنۡسَانَ لَفِىۡ خُسۡرٍۙ‏﴿۲﴾ اِلَّا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا وَ عَمِلُوۡا الصّٰلِحٰتِ وَتَوَاصَوۡا بِالۡحَقِّ ۙ وَتَوَاصَوۡا بِالصَّبۡرِ‏﴿۳﴾

Al-Asr
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. / (3)


Allah S.W.T bersumpah dengan masa menunjukkan betapa masa itu sangat diutamakan dalam islam. Masa merupakan antara nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, tetapi hanya sedikit sahaja yang menyedarinya dan menggunakan nikmat tersebut dengan sebaiknya. Amat rugilah bagi sesiapa yang kufur dengan nikmat yang diberikan ini, yang membiarkan masa berlalu dengan sia-sia.

Al Hakim meriwayatkan: Rebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara:

Masa mudamu sebelum tua;

masa luang sebelum sibuk;

masa kaya sebelum miskin;

masa sihat sebelum sakit

dan masa hidup sebelum mati.

Akhir sekali saya ingin menyeru diri saya sendiri dan saudara seislam sekalian marilah kita mengisi masa kita dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah agar kita tidak menjadi orang yang rugi di dunia dan di akhirat . Jadikan masa yang ada lebih berharga dari emas. Ingatlah masa yang lepas adalah benda yang paling jauh yang mustahil untuk kita perolehi semula.

wallahualam.

No comments: